Encik Mohd Rizalmi bin Dahaman

Pengetua MRSM Tun Mohammad Fuad Stephens, Sandakan

Assalamualaikum W.b.t & Salam 1Malaysia..

Bersyukur saya ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah dan kurnianya, MRSM Sandakan telah berjaya membangunkan dan menghasilkan laman web rasmi sendiri. Terlebih dahulu tahniah dan syabas diucapkan kepada Unit Teknologi Maklumat MRSM Sandakan kerana telah berusaha untuk membangunkan laman web selaras dengan kehendak dan maklumat terkini. Saya amat berbangga dan berpuas hati dengan ketekunan dan kerjasama yang diberikan kerana sokongan dan penglibatan semua pihak merupakan faktor kejayaan penerbitan laman web MRSM Sandakan.

MRSM Sandakan telah dirasmikan oleh Menteri Kemajuan Hal Ehwal Luar Bandar dan Wilayah, Dato' Seri Haji Mohd Shafie bin Haji Apdal  pada 5 April 2014. MRSM Sandakan telah diberi nama baru, yang dikenali sebagai Maktab Rendah Sains MARA Tun Mohammad Fuad Stephens Sandakan.   Dengan pertukaran nama yang baru, secara tidak langsung dapat memberikan imej baru kepada MRSM Sandakan sebagai institusi pendidikan global yang bakal melahirkan modal insan yang lebih cemerlang.

Penerbitan laman web MRSM Sandakan ini adalah untuk memaparkan dan mendedahkan maklumat semasa berkaitan dengan MRSM khususnya agar ia dapat menjadi sebahagian sumber maklumat serta sebagai bahan rujukan penting yang boleh dikongsi bersama dan dapat memberi input yang berguna khususnya kepada semua ibu bapa, pelajar dan guru dan juga kepada para pembaca laman web ini amnya.

Pelbagai program & aktiviti telah dijalankan bagi meningkatkan kualiti modal insan dan melahirkan pelajar yang unggul. Saya berharap agar semua warga MRSM Sandakan dapat meningkatkan daya saing dan kecemerlangan bagi melahirkan insan yang berpengetahuan tinggi, berkemahiran, serba boleh dan kreatif serta mempunyai etika kerja yang positif dan nilai kerohanian yang tinggi.

Akhir kata, Usaha membangunkan laman web ini bukanlah tugas yang mudah " Kalau Tidak Dipecahkan Ruyung Manakan Dapat Sagunya ". Komitmen yang berterusan dari semua pihak amatlah diperlukan dalam usaha mencapai kebijaksanaan ke arah kecemerlangan. Justeru itu, saya mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada semua pihak yang terlibat yang banyak mencurahkan masa, tenaga, idea dan kreativiti bagi menjayakan penerbitan laman web ini.

Selaku Pengetua, saya mengucapkan Selamat Datang Ke Laman Web Rasmi Maktab Rendah Sains MARA Tun Mohammad Fuad Stephens Sandakan, Sabah.

Sekian, terima kasih.